Datuk Abu Bakar Jais dilantik sementara sebagai Hakim Besar Malaya berkuat kuasa 15 November sehingga jawatan diisi secara hakiki.
KUALA LUMPUR: Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais dilantik melaksanakan kuasa dan tugas Hakim Besar Malaya buat sementara waktu.
Lantikan itu berkuat kuasa mulai 15 November sehingga jawatan tersebut diisi secara hakiki menurut surat Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Pelantikan dibuat berdasarkan Seksyen 9(3)(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Abu Bakar sebelum ini mengangkat sumpah sebagai Presiden Mahkamah Rayuan pada 28 Julai lalu menggantikan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim.
Lantikan ini dibuat susulan persaraan wajib Tan Sri Hasnah Hashim pada Jumaat lalu selepas 42 tahun berkhidmat dalam badan kehakiman.
Beliau merupakan Hakim Besar Malaya wanita ketiga negara selepas Tan Sri Norma Yaakob dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.
Hasnah juga mencipta sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan Penolong Penasihat Undang-Undang di Selangor. – Bernama






