MetMalaysia keluarkan amaran ribut tropika Senyar, hujan lebat berterusan dijangka di negeri barat dan tengah Semenanjung hingga 29 November
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut tropika Senyar yang dikesan di utara Sumatera.
Ribut ini terletak kira-kira 102 kilometer barat daya Lumut, Perak dan sedang bergerak ke arah timur tenggara.
Ia memasuki perairan Selat Melaka menuju ke barat Semenanjung dengan kelajuan sekitar 24 km/j.
Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata keadaan itu berpotensi membawa hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora.
Kesan ribut dijangka melanda Semenanjung Malaysia, khususnya negeri-negeri barat dan tengah mulai hari ini hingga Sabtu.
“MetMalaysia telah mengemas kini Amaran Ribut Tropika, Amaran Hujan Berterusan serta Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora,” katanya.
Amaran berkuat kuasa bagi Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka serta Johor dari 27 hingga 29 November 2025.
Amaran hujan berterusan (buruk) dijangka berterusan hingga Sabtu melibatkan Kedah (Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang, Perak, Terengganu, dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub dan Bentong).
Ia juga melibatkan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Sementara amaran hujan berterusan (waspada) dikeluarkan untuk Kelantan, Pahang (Jerantut, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin), Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor (Tangkak dan Segamat).
MetMalaysia akan terus memantau perkembangan ribut tropika itu dan mengemas kini maklumat berdasarkan keadaan semasa.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web dan aplikasi myCuaca, serta media sosial rasmi MetMalaysia.
Pertanyaan lanjut boleh dibuat melalui hotline 1-300-22-1638. – Bernama







