the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, November 27, 2025
22.6 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Malaysia berisiko hilang akses pasaran AS RM200 bilion tanpa ART

Malaysia berisiko kehilangan eksport RM200 bilion, sejuta pekerjaan dan 7,700 PKS jika Perjanjian ART dengan AS tidak dimeterai, kata Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR: Malaysia berdepan risiko besar kehilangan akses pasaran Amerika Syarikat dengan nilai eksport hampir RM200 bilion sekiranya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan AS tidak dimeterai.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberi amaran bahawa kelangsungan lebih sejuta pekerjaan dan 7,700 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut terancam.

Beliau berkata negara juga berisiko mengalami keruntuhan rantaian bekalan dan pengalihan pelaburan bernilai besar ke negara lain.

“Oleh itu, dengan ART ini, pandangan kita, pandangan kerajaan Malaysia dapat mengekalkan daya saing kita terutamanya daya saing global,” katanya selepas sesi taklimat kepada Mesyuarat Kaukus Khas Parlimen mengenai ART.

Tengku Zafrul menekankan ART akan melindungi eksport bernilai tinggi terutama dalam sektor elektrik dan elektronik serta semikonduktor.

Jumlah eksport ke AS pada 2024 merekodkan hampir RM200 bilion manakala pada 2025 dijangka melebihi RM200 bilion.

Menurutnya perjanjian ART adalah mekanisme perlindungan ekonomi negara dan dipersetujui dengan pertimbangan yang mendalam.

Tengku Zafrul menafikan dakwaan bahawa ART menguntungkan AS semata-mata dengan menyatakan ia turut melindungi eksport Malaysia daripada tindakan tarif unilateral.

“Malaysia sebagai negara pengeksport bersih memperoleh faedah yang besar melalui kepastian akses pasaran AS,” katanya.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa ART akan mengikat dasar Malaysia memandangkan ia tidak memerlukan liberalisasi tarif atau pembukaan pasaran secara tidak seimbang.

ART tidak menyentuh isu sensitif seperti makanan, data, pertahanan atau keselamatan dalaman.

Mengenai dakwaan ART menjejaskan hubungan Malaysia-China, Tengku Zafrul menjelaskan ia adalah perjanjian perdagangan dan bukannya pakatan geopolitik.

“Oleh itu, kita terus kukuhkan akses kita kepada pasaran lain seperti Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA3.0), CPTPP dan RCEP serta platform ASEAN-China,” katanya. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories