Harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi meningkat kepada RM3.29 dan RM2.66 seliter masing-masing bagi tempoh 4 hingga 10 Disember
KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi di seluruh negara meningkat tiga sen seliter bermula esok.
Harga baharu bagi tempoh 4 hingga 10 Disember ialah RM3.29 seliter untuk RON97 dan RM2.66 seliter untuk RON95 tanpa subsidi.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia kekal pada RM3.08 seliter.
Harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula terus berada pada paras RM2.15 seliter bagi tempoh sama.
Harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95) turut kekal pada RM1.99 seliter.
“Seiring dengan peningkatan harga minyak dunia, kerajaan menetapkan harga runcit RON97 pada RM3.29 seliter dan RON95 tanpa subsidi pada RM2.66 seliter,” menurut kenyataan itu.
Kerajaan akan terus meneliti dan melaras harga runcit RON97 dan RON95 berdasarkan perkembangan pasaran minyak dunia semasa.
Keutamaan tetap diberikan kepada kestabilan harga bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara.
MOF menjelaskan harga mingguan petroleum ditetapkan mengikut formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
Formula ini selaras dengan dasar penetapan harga runcit produk petroleum di negara ini.
Kerajaan akan terus memantau trend harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah bersesuaian. – Bernama







