Perdana Menteri Anwar Ibrahim tiba di Singapura untuk Pemukiman Pemimpin ke-12, bincang kerjasama dua hala dan saksikan pertukaran MoU
SINGAPURA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Singapura hari ini bagi lawatan kerja sehari untuk menghadiri Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12.
Pesawat membawa beliau mendarat di Kompleks VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Changi pada 10.39 pagi.
Ketibaan beliau disambut oleh Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan dan pesuruhjaya tinggi kedua-dua negara.
Perdana Menteri diiringi beberapa menteri kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi turut serta dalam delegasi rasmi.
Anwar dijadual menghadiri sesi pemukiman di The Ritz-Carlton, Millenia pada awal tengah hari.
Kedua-dua pemimpin, Anwar dan rakan sejawatnya dari Singapura Lawrence Wong, juga dijadual menyaksikan majlis pertukaran Memorandum Persefahaman dan perjanjian.
Kenyataan Bersama Pemimpin akan dikeluarkan pada penghujung sesi pemukiman tersebut.
Pemukiman Pemimpin yang diadakan secara bergilir merupakan mekanisme tertinggi untuk menilai kemajuan kerjasama dua hala.
Ia juga membincangkan isu serantau dan antarabangsa serta meneroka peluang baharu bagi memperkukuh hubungan.
Singapura kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia, dengan jumlah dagangan dua hala bernilai RM339.39 billion dari Januari hingga Oktober 2025.
Jumlah itu mewakili 13.5% daripada jumlah perdagangan negara.
Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Singapura. – Bernama







