Kementerian Kewangan akan teliti cadangan tangguh e-Invois Fasa 5 bagi PMKS berpendapatan bawah RM1 juta, kata Timbalan Menteri Lim Hui Ying
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti cadangan untuk menangguhkan pelaksanaan e-Invois Fasa 5 bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berpendapatan tahunan RM1 juta dan ke bawah.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata cadangan itu akan dibawa ke peringkat kementerian untuk penelitian lanjut.
Beliau menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh yang menggesa kerajaan mempertimbangkan penangguhan tersebut di Dewan Rakyat.
Lim berkata kaji selidik Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendapati lebih 85% pembayar cukai sudah mempunyai kesedaran mengenai e-Invois.
Lebih 90% pula menyatakan mereka mempunyai pemahaman mencukupi hasil sesi taklimat dan webinar yang dianjurkan.
LHDN sentiasa membuka ruang libat urus dengan persatuan perdagangan yang memerlukan bantuan untuk memastikan peralihan berjalan lancar.
Menjawab soalan lain mengenai keselamatan data, Lim menegaskan LHDN memberi keutamaan tinggi terhadap perlindungan data.
Katanya LHDN mematuhi piawaian antarabangsa seperti Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) dan Sistem Pengurusan Kesinambungan Perniagaan (BCMS).
LHDN juga melaksanakan enkripsi, pengesahan, kawalan capaian dan firewall untuk menghalang pencerobohan data.
Tadbir urus data dilaksanakan mengikut piawaian industri dengan mengehadkan akses kepada individu yang dibenarkan sahaja.
LHDN bekerjasama rapat dengan Agensi Keselamatan Siber Negara dan Majlis Keselamatan Negara bagi memastikan perlindungan sistem e-Invois pada tahap tertinggi. – Bernama







