the sun malaysia ipaper logo 150x150
Friday, December 5, 2025
22.5 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Bapa tak sangka dapat “long call” bersama anak

Shamsul Azlan, 55, dan anaknya Zeti Akhtar, 24, terima long call sebagai peguam bela dan peguam cara dalam majlis bersejarah di Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR: Seorang bapa tidak pernah menyangka impiannya untuk bergelar peguam menjadi kenyataan, apatah lagi berkongsi hari bersejarah bersama anak perempuannya yang juga diterima masuk sebagai pengamal undang-undang.

Berbekalkan semangat dan minat untuk mempelajari bidang undang-undang,​​​​​​ Shamsul Azlan Mohd Noor, 55, berkata hari ini beliau tidak bersendirian kerana anak perempuannya, Zeti Akhtar Nabilah, 24, turut diterima masuk dan didaftar sebagai peguam bela dan peguam cara di Mahkamah Tinggi Malaya di sini.

“Saya tidak pernah menyangka saya boleh diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara bersama anak saya. Saya belajar undang-undang kerana saya minat bidang ini. 

“Ini adalah detik bersejarah buat kami. Alhamdulillah, ini semua perancangan dan ketentuan Allah,” katanya kepada kepada Bernama selepas upacara penerimaan masuk sebagai peguam bela dan peguam cara di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Azlan Sulaiman.

Terdahulu, Azlan yang mempengerusikan upacara berkenaan membenarkan petisyen penerimaaan masuk Shamsul Azlan dan Zeti Akhtar sebagai peguam bela dan peguam cara selepas tiada bantahan daripada Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam Malaysia dan Jawatankuasa Peguam Selangor.

Shamsul Azlan berkata beliau telah menerima Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam pada 2002 dan berjaya menamatkan latihan dalam kamar di Tetuan Hasbullah Mohamad & Co pada 3 Nov 2025.

“Semasa bekerja di sektor swasta perbankan, saya mempunyai peluang untuk belajar dalam bidang undang-undang di UiTM. Alhamdulillah, saya berjaya menamatkan pengajian pada 2002 dan ketika itu Zeti Akhtar berusia setahun,” katanya yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Shamsul Azlan yang merupakan Ahli Majlis Eksekutif Persekutuan Alumni UiTM Malaysia turut menitipkan nasihat kepada golongan muda supaya menuntut ilmu tanpa mengira usia dan menggunakan peluang untuk belajar sebaik mungkin.

“Belajar ini tidak merugikan..Islam kata tuntutlah ilmu daripada buaian sehingga ke liang lahad dan itu yang saya pegang. Insya-Allah, ilmu ini banyak memberi manfaat kepada kita.

“Saya rasa saya kembali muda bila belajar. Belajar ini kita perlu minat, kalau kita ada ‘passion’, kita boleh lakukannya,” katanya.

Sementara itu, Zeti Akhtar melahirkan rasa syukur dan gembira apabila dapat ‘long call’ (upacara rasmi graduan undang-undang diterima dan didaftarkan sebagai peguam) bersama bapanya dan ia adalah kenangan yang cukup bermakna.

“Saya pada mulanya rasa macam tidak percaya sebab ingatkan abah (Shamsul Azlan) bergurau nak sambung ‘chambering’ (amali di firma guaman), tetapi abah betul-betul buat. Jadi macam terkejut sebab kami dapat ‘long call’ sama-sama,” katanya. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories