Kementerian Kerja Raya selesaikan 12,890 daripada 13,451 aduan kerosakan jalan melalui MyJalan, lancar versi 2.0 untuk integrasi pintar dan penjejakan masa nyata
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menyelesaikan 95.83% aduan kerosakan jalan yang diterima melalui aplikasi MyJalan sejak Ogos 2023.
Daripada 13,451 aduan berkaitan jalan di bawah seliaan KKR dan agensi, sebanyak 12,890 aduan telah diselesaikan.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata MyJalan kini menjadi tulang belakang pengurusan penyelenggaraan jalan negara.
“Keupayaan ini akan terus dipertingkat menerusi pelancaran MyJalan 2.0 yang menyediakan integrasi pintar, penjejakan status masa nyata dan analitik keselamatan,” katanya.
Beliau berkata MyJalan 2.0 akan memastikan pembaikan dapat dilaksanakan secara lebih proaktif dan efisien.
Alexander berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama warga KKR sempena perhimpunan bulanan kementerian itu.
Beliau turut menyenaraikan pelbagai projek berimpak tinggi yang disiapkan tahun ini.
Antaranya termasuk penyiapan tujuh hospital, 14 klinik kesihatan dan klinik daif, serta dua pusat pakar.
Projek lain melibatkan 127 projek menangani kepadatan sekolah dan 92 dewan serbaguna bagi memperkukuh proses pembelajaran dan aktiviti komuniti.
“Inisiatif menaik taraf sistem solar hibrid di Sabah dan Sarawak turut memastikan sekolah pedalaman menikmati akses elektrik stabil selama 24 jam,” katanya.
Alexander berkata kerajaan turut memperkukuh jaringan keselamatan melalui program menaik taraf lif di premis Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Program itu memberi manfaat kepada lebih 12,620 anggota dan keluarga mereka.
Beliau turut menyebut kejayaan penyempurnaan Jambatan Bagan Datuk–Kampung Sejagop yang diiktiraf sebagai projek bertaraf dunia.
“Selain itu, inisiatif menaik taraf 67 simpang kepada Lampu Isyarat Pintar (STL) turut meningkatkan kecekapan trafik serta mengurangkan risiko kemalangan,” katanya. – Bernama







