Tempoh remedi notis tanah FELDA di Terengganu dilanjut ke 7 Jan 2026 bagi beri ruang perbincangan lanjut antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
KUALA LUMPUR: Pelanjutan tempoh remedi berkaitan notis kerajaan negeri Terengganu di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara hingga 7 Januari 2026 membolehkan perbincangan lebih lanjut dengan kerajaan Persekutuan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Jemaah Menteri telah menerima maklumat terkini berkenaan isu FELDA dan perbincangan bersama kerajaan negeri.
Beliau mengesahkan kerajaan Persekutuan telah membuat bayaran sebanyak RM61 juta tahun lalu.
“Ada beberapa perkara yang sedang diteliti dan Jemaah Menteri mengikuti dengan sangat rapat perkembangan isu ini,” katanya pada sidang media di Parlimen.
Susulan pelanjutan tempoh remedi, FGV Holdings Berhad telah memulakan semula operasi ladang.
FELDA dan FGV dalam kenyataan bersama memaklumkan operasi kini dapat diteruskan secara normal.
Mereka kembali memberi tumpuan kepada peningkatan hasil dan pembangunan komuniti di tanah rancangan.
Pada Isnin lepas, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Zulkifli Ali berkata kerajaan negeri bersetuju melanjutkan tempoh remedi.
Ini sekali gus menangguhkan notis yang sebelum ini dikeluarkan kepada semua Ahli Lembaga Pengarah FGV.
Terengganu sebelum ini mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah yang diusahakan FELDA di 10 ladang.
Kerajaan negeri mendakwa tanah seluas kira-kira 15,000 hektar itu diteroka tanpa pembayaran premium, cukai atau perkongsian keuntungan selama lebih 40 tahun.







