PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengekalkan beberapa menteri sedia ada dalam Kabinet Kerajaan MADANI bagi memastikan kesinambungan pasukan dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan menangani isu rakyat.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof masing-masing mengekalkan portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan turut dikekalkan, selain Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil terus memacu Kementerian Komunikasi dalam barisan Kabinet kali ini bersama dengan Timbalannya Teo Nie Ching.
Turut dikekalkan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Timbalannya M. Kulasegaran.
Portfolio Kementerian Pengangkutan masih digalas Anthony Loke bersama-sama Timbalannya Datuk Hasbi Habibulloh dan Datuk Seri Mohamad Sabu mengekalkan portfolio Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir juga kekal menerajui kementerian masing-masing dalam Kabinet Kerajaan MADANI.
Turut kekal ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Alexander Nanta Linggi.







