KPSTI Sabah akan perhebat penyediaan internet ke sekolah luar bandar dan pedalaman mulai tahun depan, sasar tiada murid tercicir.
PAITAN: Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) akan memperhebat usaha menyediakan lebih banyak kemudahan Internet kepada sekolah-sekolah di negeri itu bermula tahun hadapan.
Tumpuan khusus diberikan kepada kawasan luar bandar dan pedalaman yang masih belum menikmati kemudahan berkenaan.
Menterinya, Datuk James Ratib, berkata langkah itu bagi memastikan tiada murid atau pelajar tercicir daripada arus pendidikan digital.
“Kami tidak mahu lagi ada murid atau pelajar yang berdepan kesukaran mendapatkan akses Internet,” katanya.
Beliau berkata usaha itu akan diteruskan dan diperluaskan daripada semasa ke semasa.
James berkata demikian dalam kenyataan selepas merasmikan Majlis Sambutan Krismas dan Tahun Baharu Peringkat Daerah Paitan.
Beliau mendedahkan kira-kira 300 sekolah di seluruh Sabah telah dilengkapi dengan peranti satelit Starlink sepanjang tahun ini.
Kemudahan itu bagi memudahkan capaian Internet serta menyokong proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
James yang juga ADUN Sugut berkata kemudahan Starlink perlu diperluaskan kepada komuniti setempat melalui inisiatif e-Desa.
Ini khususnya di kampung-kampung yang masih tidak mempunyai liputan Internet.
Sementara itu, beliau memberitahu kawasan Sugut yang disenaraikan antara 10 kawasan termiskin di negara ini menjadi antara keutamaan beliau.
Beliau berhasrat membangunkan dan membawa kawasan itu keluar daripada garis kemiskinan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Sehubungan dengan itu, beliau mengajak semua pihak supaya berganding bahu bagi memastikan daerah Paitan dan kawasan Sugut terus maju.
James berkata kemajuan itu perlu seiring dengan arus pembangunan semasa demi kesejahteraan penduduk setempat.
Beliau juga menyentuh mengenai majlis sambutan perayaan yang melibatkan pelbagai kaum dan agama di Sabah.
James menyifatkan sambutan itu terus menjadi platform penting dalam memupuk nilai keharmonian, perpaduan dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat.








