the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, December 22, 2025
27.8 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Mahkamah tolak permohonan tahanan rumah Najib

Mahkamah Tinggi tolak permohonan semakan kehakiman Najib Razak, putuskan titah adendum tidak sah dan beliau perlu jalani baki hukuman di penjara.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung titah adendum yang didakwa membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara beliau di bawahan tahanan rumah.

Hakim Alice Loke Yee Ching membuat keputusan itu selepas mendapati titah berkenaan tidak dibincang atau diputuskan semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Jan 2024.

Susulan keputusan itu, Najib perlu menjalani baki hukumannya di Penjara Kajang.

Dalam penghakimannya, Loke memutuskan bahawa titah adendum itu tidak mematuhi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, adalah tidak sah.

“Responden tidak mempunyai kuasa dan tiada kewajipan untuk mematuhi atau menguatkuasakannya… sebaliknya, pemohon (Najib) tidak mempunyai hak untuk memperoleh perintah mandamus… oleh itu, semakan kehakiman ini ditolak dan saya tidak membuat sebarang perintah berkaitan kos,” katanya.

Pada 13 Ogos lepas, Mahkamah Persekutuan mengembalikan kes itu kepada Mahkamah Tinggi  untuk mendengar meritnya di hadapa hakim baharu selepas menolak permohonan Peguam Negara bagi kebenaran merayu kepada Mahkamah Rayuan berhubung isu membabitkan titah adendum.

Najib, 72, memohon perintah mandamus bagi memaksa kesemua untuk mengesah dan mendedahkan kewujudan dokumen itu yang didakwa bertarikh 29 Jan 2024.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Loke berkata minit mesyuarat mengesahkan bahawa satu-satunya keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam mesyuarat itu ialah pengurangan tempoh hukuman penjara dan denda terhadap Najib. 

“Tiada sebarang perbincangan mengenai tahanan rumah, dan tiada nasihat yang diberikan oleh Lembaga Pengampunan berhubung perkara itu. 

“Justeru itu, titah adendum berkenaan tidak dibuat selaras dengan Perkara 42 dan bukan merupakan satu pelaksanaan hak prerogatif pengampunan yang sah,” katanya sambil menambah bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membuat keputusan secara bebas tanpa Lembaga Pengampunan.

Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong merupakan Raja Berperlembagaan dan baginda menjalankan kuasa serta fungsinya selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. 

“Pelaksanaan kuasa prerogatif pengampunan tidak terkecuali daripada prinsip ini. Ia mesti dilaksanakan dalam kerangka perundangan yang menyediakan perlindungan dan had-had tertentu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.

Loke turut menolak hujah bahawa titah berkenaan adalah satu bentuk respit yang boleh dikeluarkan secara bebas oleh Lembaga Pengampunan. 

Beliau berkata terma-terma titah berkenaan tidak menunjukkan sebarang unsur kecemasan, dan Perkara 42 tidak mengecualikan mana-mana keputusan pengampunan daripada keperluan untuk dibincangkan oleh Lembaga Pengampunan. 

Hakim itu juga berkata perintah tahanan rumah tidak boleh dilaksanakan di bawah undang-undang Malaysia memandangkan undang-undang yang memperuntukkan pembebasan secara bersyarat memberikan kuasa budi bicara sepenuhnya kepada Komisioner Jeneral Penjara. 

“Justeru, jelas bahawa titah adendum itu bercanggah dengan peruntukan berkaitan pembebasan secara bersyarat. Pada pandangan saya, pembebasan secara bersyarat adalah kuasa statutori yang hanya diberikan kepada Komisioner Jeneral Penjara,” katanya.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi dan Nurhafizza Azizan mewakili responden manakala Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

 Turut hadir pada prosiding hari ini ialah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, dan abangnya, Tan Sri Nazir Razak, serta anak-anak beliau iaitu Datuk Mohd Nizar, Datuk Mohd Nazifuddin dan Puteri Norlis.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah bahawa jika titah adendum berkenaan terbukti wujud, semua atau mana-mana responden hendaklah dipaksa untuk menguatkuasakannya serta-merta dan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur bagi menjalani baki hukuman penjara.

Najib telah menjalani hukuman penjaranya di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Tinggi pada asalnya menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap beliau, keputusan yang kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, petisyen Najib untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022 menyaksikan Lembaga Pengampunan memendekkan hukuman penjara beliau kepada enam tahun dan mengurangkan dendanya kepada RM50 juta.

Sementara itu, bercakap pada sidang media selepas keputusan hari ini, Muhammad Shafee berkata pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Loke.

“Kami akan mengemukakan rayuan… kami telah memohon agar penghakiman bertulis disiapkan dengan segera dan rekod rayuan disediakan secepat mungkin supaya kami boleh membawa perkara ini ke Mahkamah Rayuan dan jika perlu, ke Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

Nissan Bets on Motorsport, NISMO and Heritage to Reinforce Brand Identity

Nissan is stepping up efforts to strengthen its global brand image by placing renewed emphasis on motorsport, expanding its NISMO performance range and tapping into the growing heritage and restoration scene. The initiatives, announced by Nissan Motor Co., Ltd. together with Nissan Motorsports & Customisation Co., Ltd. (NMC), form part of the wider Re:Nissan product strategy, where so-called “heartbeat models” are positioned as emotional flag-bearers that reflect the company’s performance-focused DNA.Motorsport remains central to this approach, with Nissan continuing to treat racing as both a proving ground and a development platform. Technologies and driving know-how honed in top-level competitions such as Super GT and Formula E will continue to flow directly into road cars under the long-standing philosophy of transferring lessons from the track back to everyday driving. Nissan also plans to maintain its presence in endurance racing series like Super Taikyu while exploring opportunities in new racing categories to broaden its technical and competitive experience.
spot_img

Popular Categories