Abu Bakar Hamzah bertekad kekalkan persefahaman antara ADUN PAS dan Bersatu di Perlis, sambut baik titah Raja Perlis untuk bersatu
ARAU: Menteri Besar Perlis yang baharu, Abu Bakar Hamzah, bertekad mengekalkan persefahaman dalam kalangan barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.
Beliau menyambut baik titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang mahu semua ADUN PN kembali bersatu dan bekerjasama sebagai satu parti.
“Tidak timbul isu sama ada PAS atau Bersatu lebih atau kurang baik,” katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah di Istana Arau hari ini.
Abu Bakar menekankan bahawa PAS dan Bersatu adalah sebuah keluarga dan apa juga perbalahan akan diselesaikan dalam masa terdekat.
“Dari segi politik kita akan kekal dalam pasukan PN,” tegas ADUN Kuala Perlis itu.
Beliau juga berharap hubungan dalam PN kekal baik sehingga habis penggal pentadbiran.
Mengenai barisan exco kerajaan negeri, beliau berkata pihaknya akan melakukan sedikit rombakan.
Abu Bakar berkata agihan portfolio akan dipastikan seimbang antara ADUN PAS dan ADUN Bersatu.
“Kita akan seimbangkan sebab PN adalah gabungan PAS dan Bersatu dan insya-Allah akan letakkan kesamarataan,” jelasnya.
Beliau turut bertekad meneruskan dasar serta hubungan baik kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan.
Ini bagi memastikan Perlis terus menerima bantuan sewajarnya untuk memajukan negeri.
Abu Bakar menyatakan penghargaan kepada bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, atas jasanya menerajui Perlis selama tiga tahun.
Mohd Shukri meletakkan jawatan secara rasmi pada 25 Disember lepas atas faktor kesihatan.








