Seorang wanita kerugian RM27,147 selepas diperdaya sindiket tawaran kerja sambilan palsu ‘like’ dan ‘view’ di Instagram di Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU: Seorang pekerja kedai roti mengalami kerugian RM27,147 selepas diperdaya sindiket tawaran kerja sambilan palsu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata wanita berusia 30 tahun itu dihubungi suspek yang mendakwa sebagai wakil platform e-dagang popular.
“Suspek memaklumkan mangsa terpilih sebagai pemenang satu peraduan dan ditawarkan membuat kerja sambilan ‘like’ dan ‘view’ hantaran di laman sosial Instagram dengan bayaran lumayan,” katanya.
Mangsa kemudian diminta membuat bayaran untuk mendapatkan tugasan dengan janji lebih banyak bayaran akan membawa lebih banyak tugasan dan keuntungan.
Azli berkata mangsa membuat lapan bayaran ke akaun berbeza menggunakan wang simpanan dan pinjaman daripada rakan serta keluarga dari 26 hingga 28 Disember.
Mangsa mula curiga apabila suspek terus mendesak pembayaran sedangkan tiada keuntungan diperoleh lalu membuat laporan polis.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan.
Polis menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan sebarang tawaran kerja sambilan yang menjanjikan keuntungan lumayan secara mudah.








