Seorang mangsa serangan di Sungai Bakap kini kritikal, manakala dua suspek telah direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh.
NIBONG TEBAL: Seorang lelaki yang cedera dalam serangan di sebuah restoran di Sungai Bakap semalam kini berada dalam keadaan kritikal.
Mangsa berusia 30-an itu sedang dirawat di Hospital Seberang Jaya akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
Seorang lagi lelaki yang cedera dirawat di Hospital Sungai Bakap dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata siasatan awal mendapati mereka sedang minum bersama mangsa yang maut sebelum diserang.
“Mereka bersama mangsa yang maut sedang minum bersama di restoran itu sebelum tiba-tiba diserang 15 lelaki bertopeng,” katanya.
Polis telah menahan dua suspek berusia 24 dan 36 tahun bagi membantu siasatan.
Kedua-dua suspek direman tujuh hari di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Usaha untuk mengesan baki suspek yang terlibat masih giat dijalankan.
Insiden itu berlaku pada pukul 4.30 petang semalam oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan parang.
Serangan itu dikatakan berpunca daripada masalah hutang yang tidak diselesaikan.
Seorang lelaki berusia 59 tahun maut akibat cedera parah di kepala dalam kejadian itu.
Dua lagi mangsa yang cedera parah telah dihantar ke Hospital Sungai Bakap.
Beberapa video kejadian telah tular di media sosial memaparkan keadaan mangsa.
Satu video menunjukkan seorang mangsa dalam keadaan kritikal selepas serangan.








