Enam unit deretan kedai yang dijadikan kolej swasta musnah dalam kebakaran di Butterworth, dengan operasi pemadaman melibatkan lebih 50 anggota bomba.
BUTTERWORTH: Sebuah kolej swasta yang menempati enam unit deretan kedai pejabat tiga tingkat musnah dalam kebakaran di Jalan Perai Jaya di sini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang menerima panggilan kecemasan pada 5.10 petang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi John Sagun Francis berkata kebakaran bermula di tingkat bawah bangunan yang telah diubahsuai menjadi satu unit besar.
Api kemudian merebak ke tingkat lain sebelum berjaya dikawal pada 6.34 petang.
“Komander operasi melakukan kerja-kerja pengawalan serta pemadaman secara Defensive dan Offensive,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata kerja-kerja pemadaman masih dijalankan sehingga 10 malam dengan bantuan kipas pengudaraan untuk mengalihkan asap.
Operasi itu melibatkan lebih 50 pegawai dan anggota bomba daripada balai Perai, Bandar Perda, Penanti dan Sungai Bakap.
Mereka dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.








