JPJ Kelantan catat kutipan kompaun RM9.02 juta bagi tempoh 11 bulan 2025, meningkat 5.55% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan merekodkan kutipan kompaun melebihi RM9 juta bagi tempoh 11 bulan pertama tahun 2025.
Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah, berkata jumlah kutipan sebanyak RM9,022,105 itu meningkat RM520,785 atau 5.55% berbanding tempoh sama pada 2024.
Beliau menyatakan peningkatan itu antara lain dipengaruhi pelaksanaan pengurangan kadar kompaun 50% dan pengenalan Program Budi MADANI RON95 oleh kerajaan.
Sepanjang 2025, JPJ Kelantan melaksanakan pelbagai operasi penguatkuasaan termasuk Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) dan Ops Khas Kenderaan Mewah.
Hasil operasi itu menyaksikan 200,076 kenderaan diperiksa dengan 58,541 kenderaan diambil tindakan.
Dalam tempoh sama, JPJ Kelantan mengeluarkan 116,183 notis pelbagai kesalahan.
Notis-notis itu merangkumi 94,447 notis saman JPJ dan 22,675 arahan periksa di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebanyak 491 kenderaan turut disita atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh berkenaan.
Mengenai pendakwaan, Mohd Misuari berkata 32,455 kes telah dibawa ke mahkamah.
Daripada jumlah itu, 32,423 kes melibatkan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan kutipan hasil RM2.44 juta.
Manakala 32 kes lagi melibatkan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dengan kutipan RM56,500.
Jumlah kenderaan yang diambil tindakan pada 2025 menunjukkan penurunan kecil iaitu 331 kenderaan atau 0.56% berbanding 2024.
Mohd Misuari menegaskan tahap kesedaran dan pematuhan pengguna jalan raya masih perlu dipertingkatkan secara berterusan.
“Penguatkuasaan yang dilaksanakan bukan semata-mata untuk menghukum, sebaliknya bertujuan mendidik dan meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya demi keselamatan semua,” katanya.








