Ahli Parlimen Adly Zahari umumkan ‘green lab’ akan dibina di sekolah rendah Alor Gajah untuk pendidikan digital awal dan pencegahan scam.
ALOR GAJAH: Beberapa sekolah rendah di Parlimen Alor Gajah bakal mempunyai ‘green lab’ atau makmal hijau bagi memperkasakan pendidikan digital awal.
Ahli Parlimen Alor Gajah Adly Zahari berkata makmal itu akan memberi pendedahan mengenai perisian dan perkakasan teknologi kepada murid.
“Menerusi ‘green lab’ itu mereka boleh menghasilkan video kreatif, belajar menjadi influencer dan yang paling penting mereka faham tentang dunia digital,” katanya.
Beliau berkata pengetahuan digital itu juga boleh mengekang murid daripada terlibat dengan isu scam.
Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata demikian pada Program Jom Shopping Barangan Sekolah 2026 di Pulau Sebang.
Seramai 500 murid daripada keluarga kurang berkemampuan menerima baucar bernilai RM100 setiap seorang di program itu.
Mengulas insiden helikopter TLDM, Adly berkata jawatankuasa teknikal sedang melakukan siasatan terperinci.
Beliau berkata hasil siasatan diharap dapat membantu mengelakkan kemalangan sama berlaku pada masa hadapan.
Sebuah helikopter Super Lynx milik TLDM melakukan pendaratan cemas di perairan Pantai Klebang Rabu lepas.
Kejadian berlaku ketika pesawat melaksanakan penerbangan demonstrasi sempena sambutan Hari Ulang Tahun ke-60 GGK TDM.
Empat kru udara berjaya diselamatkan dan dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan.
Bangkai helikopter berkenaan telah dikeluarkan dan dihantar ke Pangkalan TLDM Lumut untuk penilaian teknikal.








