Muhammad Kamil Abdul Munim menyeru semua pihak mengelak polemik tidak perlu, utamakan pendapat membina demi keharmonian dan kepentingan rakyat.
KUALA LUMPUR: Semua pihak mempunyai peranan penting untuk menjaga sensitiviti dan mengelakkan tercetusnya polemik yang tidak perlu ketika mengemukakan pandangan.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata setiap pendapat yang disuarakan mestilah bersifat membina dan berlandaskan kepada kepentingan rakyat secara menyeluruh.
Beliau berkata selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI, adalah wajar semua pihak meneruskan pendekatan berhemah serta mengekalkan keyakinan rakyat.
“Hakikatnya, kita semua adalah satu keluarga besar. Perbezaan pandangan adalah lumrah, justeru, perlu diurus dengan semangat saling menghormati,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menerusi hantaran itu, Muhammad Kamil turut menyertakan tangkap layar artikel akhbar mengenai ‘Konvensyen Khas Pemuda UMNO diteruskan – Dr Muhamad Akmal’.
Konvensyen sehari di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur itu merupakan platform untuk membincang hala tuju UMNO susulan perkembangan politik semasa.
Muhammad Kamil merakamkan ucapan selamat maju jaya kepada Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh atas penganjuran konvensyen berkenaan.
Beliau berharap segala perbincangan yang berlangsung membawa kebaikan dan manfaat buat negara.
“Semoga konvensyen khas ini menjadi ruang yang matang dan bermakna untuk memperkukuh peranan generasi muda,” katanya.
Dalam realiti Malaysia yang majmuk, kestabilan hanya dapat dipelihara melalui kebijaksanaan dan rasa tanggungjawab bersama.








