Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijangka buat pengumuman penting esok berkenaan ekonomi, pendidikan dan reformasi institusi pada Amanat Tahun 2026.
MELAKA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membuat beberapa pengumuman penting esok.
Pengumuman itu akan dibuat pada Perhimpunan Bulanan Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Januari dan Amanat Tahun 2026.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke (gambar) berkata pengumuman itu membabitkan isu kritikal berkaitan ekonomi, pendidikan serta reformasi institusi.
“Esok Isnin, Perdana Menteri akan panggil mesyuarat khas Jemaah Menteri dengan beberapa isu terdesak akan dibincangkan,” katanya.
Beliau berkata selepas itu, pada 11.30 pagi, Anwar akan menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 bersama warga Jabatan Perdana Menteri.
Loke berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen DAP Melaka di sini hari ini.
Beliau berkata perkara bakal diumumkan itu menunjukkan keseriusan Anwar dan pimpinan Kerajaan MADANI.
Ia bagi menangani isu serta masalah dihadapi rakyat ketika ini terutama dalam menangani iklim ekonomi mencabar.
Loke berkata amanat berkenaan juga akan menggariskan hala tuju utama negara dan kerajaan sempena tahun baharu ini.








