KUALA LUMPUR: Pelan Pengintegrasian Terminal 1 dan Terminal 2 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dipercepat bagi memastikan ketersambungan berterusan penumpang dan bagasi antara kedua-dua terminal.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pengintegrasian itu antaranya melibatkan pembangunan kemudahan kebolehcapaian antara dua terminal itu seperti kemudahan pengangkutan bas dalam kawasan larangan (airside) bagi penumpang dan bagasi.
Beliau meminta syarikat-syarikat penerbangan bekerjasama untuk merealisasikan perkara berkenaan dalam usaha meningkatkan kedudukan negara sebagai hab penerbangan serantau.
“Kita mahu syarikat-syarikat penerbangan ini jangan tertumpu kepada persaingan sahaja,“ katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Konsultasi Penerbangan Negara (NACC).
Loke menegaskan bahawa Kementerian Pengangkutan menyokong sepenuhnya idea pengintegrasian itu yang merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan dan pengurusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
“Malah saya telah menggesa (pengintegrasian) ini banyak kali sebelum ini,“ katanya sambil menafikan ia dipengaruhi kehendak politik.
Pelan itu juga mungkin akan melibatkan prosedur imigresen dan kastam namun perlu dibincangkan terlebih dahulu dan perinciannya dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya enam hingga sembilan bulan.
Tindakan susulan lain turut diputuskan dalam mesyuarat untuk menyelesaikan beberapa isu seperti kajian semula pelaksanaan Green Lane bagi menyelesaikan masalah kesesakan pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Turut dibincangkan penambahbaikan pengurusan slot di lapangan terbang oleh Koordinasi Slot Negara Malaysia (NSCM) selain penubuhan pasukan petugas bagi projek penggantian sistem menangani bagasi (BHS). – Bernama









