the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, July 2, 2026
30.7 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Onn Hafiz: Kolam selam tempur Kem Iskandar, Mersing siap Jun

ISKANDAR PUTERI: Kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing dijangka akan siap pada Jun ini, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihaknya akan memantau projek itu secara lebih rapat, bagi memastikan tiada lagi penangguhan berlaku seperti sebelum ini.

“Dalam kes kem di Mersing itu, saya difahamkan sudah enam kali pihak pemaju mohon EOT (lanjutan masa) sejak tahun 2020. Saya sudah berhubung dengan pihak JKR untuk mendapatkan maklumat terkini. Sekiranya tidak siap JKR kena jawab.

“Saya juga lihat banyak projek yang terpaksa ditambah masa (di Johor), justeru itu pengurusan projek perlu ada pemantauan lebih baik untuk memastikan kos tidak naik dan juga projek selesai dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran perkhidmatan bas elektrik rentas sempadan pertama di Malaysia, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Sementara itu, Mohamad Fazli berkata projek berkenaan kini berada pada tahap kemajuan 98 peratus dengan hanya kerja-kerja pemasangan jubin, kemasan jalan, penyediaan perabot, pembahagi ruang pejabat dan pintu, yang masih perlu disiapkan.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan pihak yang bertanggungjawab membina kolam selam tempur di Kem Iskandar, memberi penjelasan berhubung punca kelewatan pembinaannya.

Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Gerup Gerak Khas (GGK) dilaporkan bertitah, kolam tersebut yang sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022, sehingga kini masih dalam pembinaan.

Majlis pecah tanah kolam yang merupakan fasiliti amat diperlukan oleh anggota 21 GGK bagi meningkatkan kompetensi individu dan pasukan, khususnya dalam menangani ancaman dari domain maritim itu disempurnakan Sultan Ibrahim pada Mei 2018.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings