JOHOR BAHRU: Sebanyak 17 mukim di Johor dikategorikan di bawah Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) penyalahgunaan dadah, bahan dan pelencongan sosial, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon.
Ling berkata mukim tersebut melibatkan enam daerah iaitu Johor Bahru, Pontian, Batu Pahat, Segamat, Muar dan Mersing.
Beliau berkata Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menetapkan sebanyak 155 kawasan daripada mukim berkenaan akan disasarkan pengurangan aktiviti tidak sihat itu dalam tempoh lima tahun selaras dengan matlamat Dadah Terkawal 2025.
“Melalui peruntukan kerajaan negeri, pengurangan KBT ini akan dilaksanakan secara serentak dalam masa terdekat bagi merealisasikan hasrat kerajaan menerusi Agenda Maju Johor untuk melahirkan masyarakat bebas dadah.
“Isu dadah tidak boleh dipandang mudah kerana ia membabitkan rakyat dan kita sebagai pemegang amanah perlu bangkit bersama menangani isu ini secara kolektif sehingga ke peringkat akar umbi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ling, berdasarkan statistik tahun lepas, Johor berada di tangga ke-10 dalam Bilangan Penyalah Guna dan Penagih Dadah merangkumi 13,261 individu iaitu 94 peratus lelaki dan enam peratus perempuan manakala setakat Jun lepas, seramai 4,973 klien atau individu menjalani rawatan pemulihan AADK.
Beliau berkata kategori umur yang mempunyai penglibatan terbanyak adalah golongan belia berusia 19 hingga 39 tahun (65.9 peratus) diikuti golongan dewasa berusia 40 dan ke atas (32.8 peratus) manakala golongan penganggur (31 peratus) dan golongan pekerja swasta merupakan penyumbang utama kategori pekerjaan.
“Mengikut nilai ambang Kadar Prevalens Penyalah Guna dan Penagih Dadah Serta Bahan (per 100,000 penduduk) pada 2021, Johor menunjukkan kadar 350 berbanding kadar Malaysia 377 dan ini sekali gus menunjukkan kadar Johor adalah kurang daripada kadar kebangsaan,” katanya. – Bernama









