Sunday, November 9, 2025
26.5 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

210 penunggang motosikal diperiksa, 4 ditahan dalam operasi lebuh raya KESAS

Operasi khas di Lebuh Raya KESAS periksa 210 penunggang motosikal, tahan 4 individu dan rampas 48 motosikal kerana lumba haram

SHAH ALAM: Seramai 210 penunggang motosikal diperiksa dalam Operasi Khas Bersepadu di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) awal pagi tadi.

Empat individu ditahan kerana menunggang secara berbahaya dalam operasi membenteras aktiviti samseng lumba haram.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata operasi bermula jam 1.30 pagi membawa kepada sitaan 48 motosikal mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebanyak 105 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi tersebut.

Pasukan penguat kuasa bergerak ke lokasi sebelum penutupan penuh kedua-dua arah lebuh raya bermula jam 3.30 pagi.

Operasi melibatkan 25 simpang utama di jajaran KM18 hingga KM26 sepanjang 6 kilometer dari kawasan tumpuan lumba haram.

Kesemua motosikal dan penunggang dibawa ke Balai Trafik IPD Klang Selatan bermula jam 4.15 pagi untuk tindakan lanjut.

Lima penunggang didapati positif dadah selepas ujian saringan air kencing oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

Tiga penunggang positif ganja manakala dua lagi positif ketum.

Pemeriksaan Jabatan Alam Sekitar terhadap lapan motosikal mendapati tiga menerima notis saman kerana pengubahsuaian ekzos melebihi had bunyi dibenarkan.

Shazeli menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan tindakan pencegahan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Operasi tamat pada jam 9.15 pagi dengan penglibatan 183 pegawai dan anggota pelbagai agensi.

Agensi terlibat termasuk JSPT IPK Selangor, JSPT Lebuhraya Bukit Aman, Unit Risikan dan Operasi JPJ, JAS, AADK serta Konsesi Lebuh Raya KESAS. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories