Agensi Islam Pulau Pinang diseru perkukuh kerjasama strategik bagi memastikan Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2030 direalisasikan
BUTTERWORTH: Agensi-agensi Islam Kerajaan Negeri Pulau Pinang diseru memperkukuh kerjasama strategik bagi memastikan Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2030 (APAI 2030) direalisasikan secara menyeluruh.
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid (gambar) berkata APAI 2030 merupakan gagasan penting yang perlu dihayati setiap kakitangan agensi Islam kerajaan negeri.
“Agenda penting ini digerakkan secara bersepadu oleh semua agensi Islam kerajaan negeri, bagi memastikan tidak wujud jurang yang besar antara umat Islam dan kaum-kaum lain menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Himpunan Agensi-Agensi Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan Pelancaran Buku Pelan Strategik APAI 2030 di Dewan Wisma Al-Ansar, Masjid Al-Muhajirin Seberang Jaya.
Agenda pembangunan agama Islam itu berteraskan lima fokus utama iaitu Pembangunan Sosioekonomi, Pendidikan, Keluarga, Anak Muda serta Dakwah dan Tarbiah.
Perkara itu digerakkan melalui 14 strategi dan 70 pelan tindakan bersifat inklusif bermula Mac 2024.
Pusat Kajian Pemikiran dan Ketamadunan Islam Negeri Pulau Pinang (Al-Hady Centre) berperanan sebagai badan pemikir serta urusetia kepada agenda tersebut.
Buku Pelan Strategik APAI 2030 yang dilancarkan hari ini diserahkan kepada 11 ketua agensi Islam negeri.
Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mengharap buku itu menjadi panduan utama melaksanakan gerak kerja secara lebih sistematik.
Pemantauan pelaksanaan akan dilakukan setiap tahun.
Majlis yang dianjurkan buat kali kedua itu disertai hampir 400 kakitangan daripada 11 agensi agama Islam di bawah kerajaan negeri.








