Timbalan Perdana Menteri jangka Pilihan Raya Negeri Melaka akan diadakan dalam tempoh dua hingga 10 bulan akan datang.
MELAKA: Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjangkakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diadakan dalam tempoh dua hingga 10 bulan akan datang.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata pemimpin UMNO di negeri itu berdepan tugas berat untuk mempertahankan rekod cemerlang mereka.
“Saya sering mengingatkan diri saya, untuk memperoleh kejayaan itu sukar, tetapi mempertahankan kejayaan itu lebih sukar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri bersama-sama Warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas di Alai.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.
Ditanya tentang konsep Rumah Bangsa yang mungkin diaplikasikan pada PRN Melaka kali ini, Ahmad Zahid berkata perinciannya akan dibincangkan bersama dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
“Apabila beliau kembali (dari China), kita akan perincikan metodologi yang akan dilakukan untuk terjemahkan Rumah Bangsa dalam konteks PRN Melaka,” katanya.
Pada PRN Melaka 2021, Barisan Nasional menang 21 daripada 28 kerusi dipertandingkan.
Penggal lima tahun DUN Melaka dijangka tamat pada Disember ini.








