the sun malaysia ipaper logo 150x150
Sunday, July 12, 2026
25.8 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Sultan Pahang gesa integriti tinggi dalam isu PR, kewarganegaraan

State Election

Johor State Election 2026

11 July 2026 Johor, Malaysia
Learn more

Sultan Pahang menegaskan pemberian taraf PR dan kerakyatan bukan urusan remeh, menyeru ketegasan demi kedaulatan negara

KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan kebimbangan berkaitan isu pemberian taraf penduduk tetap (PR) dan kewarganegaraan. 

Al-Sultan Abdullah bertitah perkara berkenaan bukan sekadar isu pentadbiran, tetapi menyentuh amanah, integriti, keadilan dan maruah sebuah bangsa berdaulat dengan pemberian keistimewaan berkenaan bukanlah urusan kecil yang boleh dilayan sambil lewa. 

“Kewarganegaraan bukan hanya sekeping dokumen dan sekadar pengiktirafan undang-undang, ia adalah ikrar kesetian, sumpah setia kepada raja dan tanah air. 

“Kewarganegaraan juga bukan ganjaran yang boleh dijual beli, bukan hadiah kuasa dan bukan tiket mudah untuk memasuki pangkuan watan, ia adalah lambang kepercayaan tertinggi negara kepada seseorang. 

“Jadi, saya ingin mengingatkan kepada semua yang bertanggungjawab, ketegasan dalam perkara ini bukanlah kezaliman tetapi benteng kedaulatan negara. Jika pintu kerakyatan dibuka tanpa tapisan yang adil dan berintegriti, maka runtuhlah kepercayaan rakyat dan lunturlah maruah negara di mata dunia,” titah baginda. 

Sultan Pahang bertitah demikian pada Program Wacana Belia Diraja 2026 “Titah Diraja, Amanah Belia: Membina Masa Depan Pahang Berdaulat” di sini yang turut dihadiri paduka anakanda Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. 

Hadir sama Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal serta Presiden Majlis Belia Malaysia Mohd Izzat Afifi Abd Hamid. 

Al-Sultan Abdullah bertitah kedaulatan negara tidak boleh dikompromi atas alasan pelaburan, tekanan politik atau keuntungan sementara, malah maruah bangsa bukan untuk dijual dan kedaulatan negara bukan untuk digadai. 

Sementara itu, dalam menyentuh aspek kesetiaan kepada raja dan negara sebagai asas kepada kestabilan, baginda menyeru supaya golongan muda bersuara serta menegur dengan hikmah dan tertib berasaskan fakta sebenar. 

“Jika mahu mengubah, ubahlah dengan ilmu dan akhlak, bukan amarah serta caci. Sesungguhnya, kesetiaan kepada raja dan negara ialah asas kestabilan nasional, tanpanya kebebasan bertukar menjadi kebiadaban dan keberanian berubah kepada keangkuhan,” titah baginda.

Wacana berkenaan menghimpunkan 500 peserta terdiri daripada kepimpinan persatuan belia, mahasiswa institusi pengajian tinggi serta pihak berkepentingan dalam bidang pembangunan belia dan kenegaraan. 

Program itu juga merupakan inisiatif strategik untuk memperkukuh literasi kenegaraan dalam kalangan belia, khususnya berkaitan fungsi, peranan dan kedudukan institusi raja berpelembagaan sebagai teras kestabilan dan kedaulatan negara. 

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings