AKPS merampas 46kg bunga ros segar dari India di KLIA Kargo kerana tiada permit import MAQIS, kes disiasat di bawah Akta 728
PUTRAJAYA: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merampas tiga kotak bunga ros segar seberat 46 kilogram yang diimport tanpa Permit Import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
Rampasan itu dibuat dalam satu pemeriksaan di Zon Perdagangan Bebas (FCZ) KLIA Kargo semalam.
Hasil semakan mendapati barangan tersebut merupakan bunga ros segar yang diimport dari India tanpa kebenaran dan permit sah daripada MAQIS.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengimport komoditi pertanian tanpa Permit Import MAQIS yang sah.
“Kesemua barangan rampasan telah ditahan untuk tindakan lanjut mengikut prosedur serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan AKPS.
AKPS menegaskan komitmen berterusan dalam memperketat kawalan kemasukan barangan pertanian demi melindungi keselamatan biosekuriti negara.








