Menteri Kewangan II gesa syarikat jadikan pelaporan korporat sebagai instrumen strategik, bukan beban pematuhan, hadapi ekonomi hijau dan digital
KUALA LUMPUR: Syarikat perlu melihat pelaporan korporat sebagai instrumen strategik dan bukan sebagai pematuhan yang membebankan.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata ini penting dalam keadaan peralihan ekonomi global ke arah paradigma hijau dan digital.
Beliau menegaskan pelaporan korporat berperanan sebagai kaedah untuk menyatakan tujuan, kemajuan dan prestasi secara jelas dan berintegriti.
“Saya mengambil peluang ini untuk merakamkan penghargaan kepada Bursa Malaysia Bhd, Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA) atas kerjasama mereka dalam mendorong peningkatan berterusan dalam standard pelaporan korporat,” katanya.
Amir Hamzah yang juga menjalankan fungsi Menteri Ekonomi berkata kerajaan bergantung kepada organisasi tersebut untuk mendukung standard profesionalisme tertinggi.
Beliau menekankan kepentingan memupuk budaya korporat beretika dan memastikan Malaysia terus dilihat sebagai destinasi pelaburan dan perniagaan yang dipercayai.
Amir Hamzah berkata komuniti korporat menghadapi cabaran besar meliputi gangguan digital dan tuntutan kemampanan.
Bagaimanapun, wujud peluang untuk berinovasi, memimpin, membina kepercayaan serta memupuk keterbukaan dan kebertanggungjawapan di sebalik semua cabaran tersebut.
“Marilah kita memanfaatkan teknologi bukan sahaja untuk meningkatkan kecekapan malah meninggikan lagi tahap ketelusan dan kepercayaan awam,” katanya.
Beliau menggesa usaha ke arah korporat Malaysia yang inovatif dari segi pemikiran, bertanggungjawab dalam tindakan dan telus dalam komunikasi.
Anugerah Laporan Korporat Tahunan Kebangsaan (NACRA) 2025 menandakan 35 tahun penubuhannya.
Acara tahun ini menarik penyertaan 60 organisasi, mencerminkan pengiktirafan yang semakin meningkat terhadap kepentingan pelaporan yang jelas, jujur dan menyeluruh. – Bernama







