Mangsa banjir di Sarawak dan Johor menurun, sementara Pahang pulih sepenuhnya. Sabah pula catat peningkatan mangsa di Beaufort.
KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Pahang telah pulih sepenuhnya, manakala jumlah mangsa di Sarawak dan Johor terus menunjukkan penurunan pada petang ini.
Di Pahang, kesemua 83 mangsa di Raub telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing tengah hari tadi.
Mereka melibatkan 17 keluarga yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Ulu Atok.
Di Sarawak, jumlah mangsa menurun kepada 1,225 orang daripada 307 keluarga setakat 4 petang.
Ini berbanding 1,343 orang daripada 342 keluarga yang dilaporkan pada pagi tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan PPS Dewan Suarah Kota Samarahan telah ditutup pada pukul 2 petang.
Sejumlah 10 PPS masih beroperasi di negeri itu.
Data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan beberapa sungai utama di Sarawak masih melepasi paras bahaya.
Ini termasuk Stesen Long Teru, Miri (8.28 meter), Stesen Marudi (3.67 meter) dan Stesen Nanga Lemai B, Sibu (4.34 meter).
Di Johor, mangsa banjir di Segamat berkurang kepada 92 orang daripada 27 keluarga pada 4 petang.
Jumlah itu menurun daripada 112 orang daripada 31 keluarga yang dilaporkan pagi tadi.
Pengerusi JPBN Johor Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata kesemua mereka ditempatkan di lima PPS di daerah itu.
Sementara itu, di Sabah, mangsa banjir meningkat kepada 282 orang daripada 102 keluarga.
Ini berbanding 190 orang daripada 75 keluarga yang dilaporkan pada pagi tadi.
JPBN Sabah memaklumkan kesemua mangsa dari enam kampung itu berlindung di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon, Beaufort.
PPK tersebut telah beroperasi sejak pukul 5 petang semalam.








