Bekas ahli NGO didakwa terima rasuah lebih RM36,000 janjikan gelaran Datuk Seri dan memalsukan dokumen darjah kebesaran negeri Melaka.
MELAKA: Seorang bekas ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan menerima rasuah dan satu pertuduhan memalsukan dokumen.
Nurfateha Othman, 44, didakwa menerima rasuah berjumlah keseluruhan RM36,824.50 berkaitan janji penganugerahan gelaran Datuk Seri.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan pertuduhan dibacakan di Hospital Besar Melaka kerana tertuduh sedang menerima rawatan.
“Tertuduh didakwa menerima wang rasuah daripada seorang ahli perniagaan sebagai dorongan untuk menjanjikan penganugerahan gelaran berkenaan, sedangkan tertuduh tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memberikannya,” menurut kenyataan itu.
Dia didakwa menerima RM25,559.50 antara 23 November 2022 hingga 23 November 2023 melalui transaksi dalam talian daripada akaun syarikat isteri ahli perniagaan.
Pertuduhan kedua membabitkan penerimaan RM2,440 antara 13 Disember 2022 hingga 1 Jun 2023 daripada akaun peribadi isteri ahli perniagaan sama.
Pertuduhan ketiga ialah menerima RM8,825 antara 28 Disember 2022 hingga 2 November 2023 daripada akaun peribadi individu sama.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Melaka di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Pertuduhan keempat di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan membabitkan pemalsuan dokumen pada September 2023.
Dia didakwa memberikan Surat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka 2023 yang palsu kepada ahli perniagaan terbabit.
Nurfateha mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan.
Hakim Elesabet Paya Wan memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Psikiatri bagi tujuan pemerhatian.
Mahkamah menetapkan 23 Februari 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes tanpa tawaran jaminan.








