Bekas Panglima Tentera Darat Muhammad Hafizuddeain Jantan didakwa atas empat pertuduhan menerima wang haram lebih RM2.12 juta
KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Tentera Darat (PTD) Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram lebih RM2.12 juta.
Muhammad Hafizuddeain, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas keempat-empat pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
“Faham pertuduhan, minta dibicarakan,” katanya selepas pertuduhan dibacakan satu persatu.
Beliau merupakan PTD pertama yang didakwa di mahkamah berhubung kes pengubahan wang haram berkaitan tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Bagi pertuduhan pertama hingga keempat, beliau didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di tiga bank, melibatkan tiga lokasi berbeza iaitu di Jalan Melaka, Bukit Damansara dan pusat bandar raya di sini antara 2 Feb 2024 hingga 7 Nov 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.
Menerusi Ops Parasit, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 7 Jan lepas menahan seorang pegawai tinggi bersama dua isterinya berkaitan projek perolehan tender Tentera Darat dan keesokan harinya, pegawai itu direman selama tujuh hari manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman tiga dan enam hari.
Siasatan SPRM berkaitan kes itu bermula sejak 7 Okt 2025 dan disifatkan sebagai sensitif kerana melibatkan pegawai berpangkat tinggi serta kepentingan awam.
Pada 23 Dis 2025, sepasukan pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan untuk memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek membabitkan Tentera Darat sejak 2023.
Sementara itu pada Khamis lepas, media melaporkan 23 individu termasuk dua pegawai tinggi dan empat pegawai kanan ATM ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan isu perolehan serta penggunaan dana awam selain dakwaan menerima rasuah daripada beberapa syarikat berkaitan perolehan pembekalan di Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) dan Kementerian Pertahanan.








