Mahkamah Tinggi bebaskan Datuk Ramesh Rajaratnam daripada tuduhan dagangan orang dalam, putuskan jualan saham adalah untuk selamatkan syarikat
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Pengerusi Eksekutif Malaysian Merchant Marine Berhad (MMM) dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada satu pertuduhan mempunyai maklumat dalaman mengenai saham syarikat itu, 16 tahun lepas.
Hakim K. Muniandy yang kini Hakim Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Datuk Ramesh Rajaratnam, 62, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman Mahkamah Sesyen terhadapnya sebelum ini.
Muniandy dalam penghakimannya berkata penjualan saham pada Januari 2010 tidak dicetuskan oleh maklumat dalaman, sebaliknya dibuat selaras dengan pelan yang ditetapkan lebih awal atau strategi korporat yang telah diumumkan.
Beliau berkata menjelang Disember 2009, pasaran telah sedia maklum mengenai kesukaran kewangan yang dihadapi MMM, termasuk kemungkinan penggantungan bon dan Ramesh mengalami kerugian peribadi serta hasil penjualan saham berkenaan digunakan untuk menampung perbelanjaan syarikat.
“Mahkamah berpuas hati bahawa tujuan urus niaga itu bukan untuk mendapatkan keuntungan atau mengelakkan kerugian, sebaliknya bagi memastikan kelangsungan syarikat. Sehubungan itu, mahkamah mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap perayu dan perayu dibebaskan,” katanya.
Ramesh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 29 April 2015 atas tiga pertuduhan melakukan dagangan orang dalam mengikut Seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa melupuskan 5,000,000 unit saham MMM pada 11 Jan 2010 ketika memiliki maklumat material bukan awam yang berkaitan dengan cadangan pengurangan penarafan kredit oleh Malaysian Rating Corporation Berhad bagi Sekuriti Hutang Islam Al-Bai Bithaman Ajil sebanyak RM120 juta daripada A-ID kepada BB+ID.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, beliau didakwa melupuskan 5,200,800 unit saham MMM pada 11 dan 22 Feb 2010 ketika memiliki maklumat material bukan awam yang berkaitan dengan klasifikasi MMM sebagai syarikat PN17.
Pada 11 Sept 2019, Mahkamah Sesyen telah mensabitkan Ramesh atas ketiga-tiga pertuduhan dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun serta denda RM3 juta (jika gagal, penjara tiga tahun) bagi setiap pertuduhan. Bagaimanapun, hukuman penjara diperintah berjalan serentak.
Ramesh kemudian memfailkan rayuan dan pada 20 Mei 2021, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan beliau untuk mengetepikan sabitan dan hukuman serta membebaskannya daripada ketiga-tiga pertuduhan itu. Bagaimanapun, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) merayu terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.
Pada 6 Mei 2024, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Ramesh daripada pertuduhan pertama serta mengembalikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.
Mahkamah Rayuan juga mengarahkan agar kes itu dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan di hadapan hakim lain dan mengekalkan jumlah jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin manakala pasport Ramesh diserahkan kepada mahkamah.








