the sun malaysia ipaper logo 150x150
Saturday, December 13, 2025
26.4 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Berjaya Times Square lancar kempen Krismas bertema hutan ajaib

Berjaya Times Square KL ubah aras concourse jadi hutan magis dengan rama-rama berkilau untuk kempen Krismas ‘A Magical Christmas Tale’

KUALA LUMPUR: Berjaya Times Square Kuala Lumpur (BTSKL) hari ini melancarkan kempen A Magical Christmas Tale, dengan mengubah wajah Aras Concourse Utama pusat beli-belah tersebut menjadi “hutan” yang penuh keindahan, diterangi cahaya dan dihiasi rama-rama berkilauan. 

Ketua Pegawai Eksekutif BTSKL Tan Tee Ming berkata tema itu direka bagi mewujudkan suasana musim perayaan yang magis dan imersif, satu paparan yang dijangka menjadi latar paling menawan di Kuala Lumpur bagi merakamkan kenangan Krismas bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Temanya adalah kisah Krismas yang penuh magis. Segalanya mengenai Krismas. Kita mahu mewujudkan suasana seakan-akan hutan penuh pesona dan keajaiban, membawa pengunjung daripada kesibukan hidup seharian kepada dunia magis. 

“Rama-rama melambangkan perubahan dan permulaan baharu, yang kemudian menjadi cantik dan boleh terbang. Jadi, kita memutuskan untuk menjadikan rama-rama sebagai elemen utama dalam kisah magis Krismas kali ini,” katanya kepada media di sini. 

Tan berkata pengunjung dijemput untuk menyelami semangat perayaan menerusi hiasan yang memukau, persembahan secara langsung yang menakjubkan dan promosi menarik, memandangkan BTSKL telah merangka pelbagai aktiviti mengujakan bagi menambah sentuhan magis dan interaktif kepada keseluruhan pengalaman membeli-belah.

“Kempen yang berlangsung dari 21 Nov lepas hingga 1 Jan ini, menyajikan pengunjung dengan pelbagai aktiviti perayaan termasuk beramah mesra dengan Santa dan Santarina, sesi nyanyian lagu Krismas, tarian rama-rama LED, persembahan muzikal dan pancaragam bagi Tahun Baharu,” katanya.

Bagi menghargai pengunjung yang datang membeli-belah, Tan berkata BTSKL menawarkan penebusan ganjaran berperingkat atas dasar siapa cepat dia dapat dan selagi stok masih ada, dengan peringkat pertama Christmas Surprise Awaits iaitu tawaran baucar tunai RM25 bagi pembelian minimum RM150 menerusi maksimum tiga resit hari sama.

Peringkat kedua, Carry The Joy, menawarkan beg tote Krismas bagi pembelian minimum RM350 menerusi maksimum empat resit hari sama, yang tertakluk pada terma dan syarat.  

Selain itu, beliau berkata BTSKL juga menganjurkan kempen derma dengan kerjasama The Salvation Army Malaysia, dengan pengunjung dialu-alukan untuk menyumbang barangan kitar semula seperti buku, gajet, atau mainan di pusat kutipan di Aras Lower Ground (Timur).

Tan menambah pusat belah-belah tersebut bersama-sama Berjaya Land dan Berjaya Times Square Theme Park, juga akan meraikan 24 kanak-kanak daripada rumah anak yatim House of Love sempena perayaan tersebut. 

“Sila hadir dan beri sokongan. Kami telah menjadi sebuah institusi sejak sekian lama dan kini kami telah melakukan perubahan. Saya berharap anda semua sangat gembira berada di Times Square,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai A Magical Christmas Tale, kunjungi Kaunter Maklumat di Aras Bawah (Ground Floor), Berjaya Times Square Kuala Lumpur, atau layari www.berjayatimessquarekl.com atau ikuti @BerjayaTimesSquareKL di Facebook, Instagram, dan TikTok. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories