Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin sedang dirawat di hospital swasta Kota Kinabalu, dengan anaknya memohon doa untuk kesihatan bapanya.
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin sedang dirawat di sebuah hospital swasta di sini.
Perkara itu disahkan anaknya, Naim Kurniawan Moktar, yang enggan mengulas lanjut mengenai punca bapanya dirawat.
Beliau memohon semua pihak mendoakan kesihatan Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag itu.
Dalam perkongsian di Facebook, Naim Kurniawan menyampaikan terima kasih kepada seluruh imam di Lamag yang telah mengadakan solat hajat untuk bapanya.
“Doa dan keprihatinan para imam amat kami hargai dan menjadi sumber kekuatan kami sekeluarga,” katanya.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mendoakan supaya Bung Moktar diberikan kesembuhan segera.
“Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, ketabahan dan perlindungan kepada beliau serta seluruh ahli keluarga,” katanya.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Rahman Dahlan turut mendoakan Bung Moktar mendapat kesembuhan segera.







