the sun malaysia ipaper logo 150x150
Friday, January 9, 2026
22.7 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Cadangan had tempoh PM 10 tahun tidak rugikan negara, kata AMK

Ketua AMK kata cadangan had jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun tidak rugikan negara, boleh bawa perubahan politik segar.

IPOH: Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun tidak akan merugikan negara, menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim.

Beliau berkata seseorang pemimpin masih boleh menyumbang kepada negara atas pelbagai kapasiti lain selepas tamat penggal.

“Kita kena ambil daripada sudut yang positif… kalau pun tidak seseorang Perdana Menteri itu berkhidmat (bagi tempoh) jauh lebih panjang, ada peranan ataupun fungsi lain yang kita boleh fikirkan,” katanya.

Beliau mengakui cadangan itu mempunyai pro dan kontra, namun ia tidak seharusnya menyekat perubahan politik yang baharu dan segar.

Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan berkata demikian selepas menghadiri Program Kembali Ke Sekolah Tahun 2026 di Ipoh hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata had tempoh berkenaan boleh merugikan negara jika pemimpin muda yang cemerlang tidak boleh dilantik semula.

Sementara itu, Muhammad Kamil merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas pendirian untuk mengekalkan kestabilan politik negara.

“Tidak seperti pimpinan sebahagian kecil, pimpinan-pimpinan lain yang bercakap dengan emosi dan tidak berfikir dengan waras dan panjang ke hadapan,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid dilapor berkata UMNO tidak akan melakukan tebuk atap pada kerajaan sedia ada dan akan terus bersama Kerajaan Perpaduan.

Muhammad Kamil turut menggesa semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan supaya menghentikan pertikaian sesama sendiri.

Beliau menyeru semua pihak untuk fokus memberikan khidmat bakti kepada rakyat.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories