KUANTAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 140 warga asing kerana disyaki terlibat aktiviti pelacuran, serta tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dalam Ops Khas di premis hiburan sekitar Kuantan malam tadi.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM Jafri Embok Taha berkata selain itu JIM turut menahan 11 warga tempatan pada operasi yang bermula pukul 11 malam di empat premis pusat hiburan, sembilan kelab malam dan empat premis disyaki menjalankan aktiviti pelacuran, selepas pihaknya melakukan risikan selama tiga minggu.
Jafri berkata serbuan itu melibatkan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Pahang, Pasukan Taktikal Khas (PASTAK), JIM Perlis, JIM Perak dan JIM Negeri Sembilan.
“Kita berjaya menahan 103 wanita warga Thailand, dua wanita warga Laos, 11 wanita warga Vietnam, dua wanita warga Myanmar dan dua wanita warga Indonesia, selain lima lelaki warga Myanmar, seorang lelaki warga Indonesia, 11 lelaki warga Bangladesh dan tiga lelaki warga China di mana mereka berusia antara 19 hingga 49 tahun.
“Manakala 11 orang lelaki tempatan yang berperanan sebagai penjaga premis berusia 25 hingga 46 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Jafri berkata hasil semakan awal mendapati, 94 warga asing terbabit memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah, sementara yang lain tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan atau pas sah untuk berada di negara ini.
Beliau berkata modus operandi di pusat hiburan terbabit ialah mempromosi wanita warga asing dengan menggunakan foto melalui aplikasi media sosial dan wanita yang dipilih pelanggan akan diuruskan penjaga premis warga tempatan ke bilik disediakan, dengan kadar bayaran antara RM250 hingga RM350 sejam.
“Bagi modus operandi premis pelacuran pula, pelanggan akan datang sendiri ke premis dan memilih wanita warga asing itu berdasarkan katalog disediakan, sebelum dibawa ke bilik khas selepas pembayaran dibuat antara RM250 hingga RM350 sejam,” katanya.
Jafri berkata pihaknya turut merampas kondom, dokumen premis, rekod perniagaan, kunci premis, peralatan seks, 67 pasport Thailand, dua pasport Laos, 10 pasport Vietnam, dua pasport Myanmar, tiga pasport Indonesia, 10 pasport Bangladesh, wang tunai RM7,880, 21 unit telefon bimbit, gel pelincir, gelang tips, tuala dan peralatan kamera litar tertutup (CCTV).
“Pemeriksaan mendapati terdapat bilik-bilik rahsia yang dijadikan lokasi persembunyian warga asing, apabila ada serbuan pihak berkuasa, malah ketika serbuan terdapat seorang lelaki warga asing cuba melarikan diri dengan terjun dari tingkat dua hingga tercedera dan diberikan rawatan,” katanya.
Kesemua warga asing terlibat ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 untuk tindakan lanjut, sementara 11 lelaki warga tempatan ditahan di bawah Seksyen 56(1) (d) Akta Imigresen 1959/63. – Bernama








