the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, December 22, 2025
24.4 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

JAKIM perhebat dakwah melalui kerjasama dengan ulama antarabangsa

JAKIM akan terus bekerjasama dengan ulama luar negara untuk perkasa kerja dakwah dan bentuk fikrah masyarakat Islam yang wasatiyyah

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan terus bekerjasama dengan para ulama dari luar negara bagi memperhebat kerja-kerja dakwah dan memperkukuh pembentukan fikrah masyarakat Islam di Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata jalinan kerjasama itu penting dalam usaha membina masyarakat yang bukan sahaja berakhlak dan beradab, malah memiliki pemikiran yang dinamik, progresif serta berteraskan nilai Islam yang berkemajuan dan bertamadun.

“Perbincangan bersama para ulama ini menjadi pemangkin kepada penyusunan gerak kerja dakwah yang lebih tersusun dan berkesan dalam masyarakat,” katanya kepada media selepas menerima Kunjungan Mahabbah daripada pendakwah nusantara Ustaz Abdul Somad dan Tokoh Bidang Tafsir dan Ulum Quran Syeikh Dr Khalil Ismail Eliyas di sini hari ini.

Beliau berkata JAKIM melihat pelbagai ruang kerjasama yang boleh dilaksanakan termasuk dalam bidang pendidikan, pembinaan adab dan akhlak serta pembentukan fikrah masyarakat yang seimbang dan sederhana.

“Masyarakat hari ini memerlukan pembentukan fikrah yang wasatiyyah (sederhana), ihsani dan berteraskan nilai kemanusiaan serta kasih sayang agar Islam terus difahami sebagai agama yang membawa rahmat kepada seluruh alam,” katanya.

Zulkifli ketika mengulas mengenai pertemuan dengan kedua-dua tokoh ulama itu berkata perbincangan menjurus kepada usaha untuk membentuk fikrah masyarakat serta mewujudkan atau membina masyarakat yang bukan sahaja berakhlak dan beradab tetapi juga mempunyai fikrah yang dinamik dan progresif.

“Jadi, perbincangan-perbincangan kami dengan ulama ini adalah untuk menjadi pemangkin supaya kami dapat menyusun atur gerak kerja yang lebih baik dalam memperkasakan lagi agenda dakwah dalam masyarakat,” katanya.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories