JKKN Kelantan perkukuh pelestarian seni warisan Mak Yong melalui pementasan pembelajaran bersama Institut Pendidikan Guru di seluruh negara
KOTA BHARU: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan memperkukuh usaha melestarikan seni warisan Mak Yong melalui pementasan karya Dewa Pechil dalam konteks pembelajaran bersama Institut Pendidikan Guru (IPG).
Pengarah JKKN Kelantan Rohaniza Abdullah berkata pementasan ini merupakan pendekatan pendidikan untuk memperkenalkan nilai moral, budaya dan komunikasi dalam seni Mak Yong kepada bakal pendidik.
“Mak Yong yang dipersembahkan kali ini berbeza daripada persembahan komersial kerana ia dibawa dalam bentuk pembelajaran agar penuntut IPG dapat mendalami dan menilai sendiri nilai pendidikan di sebalik kesenian ini,” katanya.
Program ini merupakan usaha JKKN memartabatkan Mak Yong yang diiktiraf UNESCO sebagai Masterpiece of the Oral and Intangible Heritage of Humanity pada 2005.
Kolaborasi dengan institusi pendidikan seperti IPG penting bagi memastikan seni tradisional itu terus hidup melalui peranan guru.
“Matlamat kami ialah memperkenalkan semula Mak Yong kepada generasi muda, bukan sahaja di Kelantan, tetapi juga di negeri lain melalui program kerjasama pendidikan,” ujar Rohaniza.
Pementasan di IPG merupakan kesinambungan program bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris sebelum ini dengan rancangan memperluaskannya ke IPG lain di seluruh negara.
Persembahan ini melibatkan kumpulan Kijang Emas, kumpulan perantisan JKKN yang ditubuhkan sejak 2010 bagi melahirkan pelapis seni tradisional.
Seramai 40 penuntut IPG dari Kampus Kota Bharu, Ampuan Afzan, Sultan Mizan dan Tengku Razali turut terlibat dalam program ini.
Penuntut IPG bukan sekadar menonton malah terlibat dalam bengkel selama seminggu bagi mempelajari muzik, tarian, nyanyian, lakonan dan ucapan tetap.
Mengenai sensitiviti budaya dan agama, Rohaniza menjelaskan persembahan Mak Yong di Kelantan dilaksanakan mengikut garis panduan patuh syariah.
“Dalam konteks pembelajaran, pementasan dilakukan secara tertutup supaya mereka memahami versi asal Mak Yong tanpa menjejaskan sensitiviti agama dan budaya tempatan,” katanya. – Bernama






