the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, December 15, 2025
22.3 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Johnathan-Joseline puas hati dengan gangsa Sukan SEA 2025

Gandingan Johnathan Wong-Joseline Cheah meraih gangsa acara pistol berpasukan campuran Sukan SEA 2025 selepas gagal mara ke penentuan emas

BANGKOK: Hasrat gandingan Johnathan Wong-Joseline Cheah untuk menghadiahkan pingat emas kedua kepada skuad menembak negara tidak kesampaian apabila prestasi kurang memuaskan pada pusingan kelayakan memaksa mereka berpuas hati dengan gangsa pada Sukan SEA Thailand 2025 di sini, hari ini.

Duo berpengalaman negara itu menamatkan saingan acara 10 meter (m) air pistol berpasukan campuran di tempat ketiga selepas menewaskan pasangan Myanmar Khaing Khaing Wai-Ye Tun Naung 16-8 pada aksi penentuan gangsa di Lapangan Sasar Menembak Sports Authority of Thailand.

Johnathan yang mempertahankan pingat  emas acara 10m air pistol individu lelaki semalam, berkata mereka turun dengan berkeyakinan tinggi dan meletakkan sasaran untuk mara ke perlawanan penentuan emas, namun mengakui kelemahan pada pusingan kelayakan menjejaskan peluang berkenaan.

Bagaimanapun, atlet Olimpik negara itu menyifatkan kilauan gangsa berkenaan tetap signifikan kerana ia merupakan pingat pertama Malaysia dalam acara pistol berpasukan campuran di temasya tersebut.

“Hari ini memang sasaran kami untuk ke perlawanan penentuan emas tetapi malangnya prestasi pada pusingan kelayakan kurang memuaskan. Banyak perkara berlaku di luar jangkaan kami.Namun, yang positifnya pada perlawanan penentuan gangsa, saya boleh katakan persembahan kami agak baik,” katanya.

“Ini merupakan pingat pertama (Malaysia) acara berpasukan campuran di Sukan SEA dan sudah tentu masih banyak aspek yang boleh diperbaiki,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan penentuan gangsa, di sini.

Pada pusingan kelayakan,  gandingan Johnathan-Joseline mengumpul 563 mata untuk sekadar menduduki tempat kelima daripada enam negara bertanding.

Atlet kelahiran Melaka berusia 33 tahun itu berharap pengalaman di Bangkok dapat dijadikan pengajaran bagi memperkemaskan persiapan menjelang edisi Sukan SEA akan datang di Malaysia dengan sasaran prestasi yang lebih konsisten dan kompetitif.

“Harapnya pada Sukan SEA akan datang di Kuala Lumpur, kami dapat tampil dengan prestasi yang lebih baik dan mantap,” katanya.

Sementara itu, Joseline yang meraih gangsa acara 10m air pistol berpasukan wanita bersama Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin dan Dina Batrisyia Adi Azhar semalam, mengakui berdepan tekanan  untuk memberikan aksi terbaik.

“Hari ini memang rasa sedikit tertekan. Semalam sudah nampak apa yang boleh diperbaiki, jadi hari ini saya mahu lakukan yang lebih baik, tetapi keputusannya tidak seperti dijangka. Mujur saya dapat memperbaikinya pada perlawanan akhir,” katanya.

Dalam pada itu, emas  acara 10m air pistol berpasukan campuran menjadi milik gandingan Indonesia Muhamad Iqbal Raia Prabowo-Putri Darmoyo Arista Perdana yang menewaskan pasangan Vietnam Trinh Thu Vinh-Pham Quang Huy dengan kutipan mata 17-9. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories