Kementerian Pertahanan akan laksanakan kajian penambahbaikan insentif dan ganjaran bagi anggota Angkatan Sukarela ATM yang aktif dalam latihan
KUALA LUMPUR: Kajian menyeluruh berkenaan penambahbaikan insentif dan ganjaran kepada anggota Angkatan Sukarela Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang aktif menyertai latihan akan dilaksanakan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali berkata kajian itu antara langkah menyuntik semangat dan meningkatkan minat penyertaan orang awam.
Beliau berkata kajian berkaitan kriteria pencalonan penerima tauliah kehormat juga perlu dilaksanakan bagi memastikan pemegang tauliah memainkan peranan sebenar.
Lokman Hakim mengulas hasil Sidang Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Pendukung (SPJP) Angkatan Sukarela Se-Malaysia ke-19 di Wisma Perwira ATM.
Beliau berkata sidang turut bersetuju agar sebuah bengkel penyelarasan dilaksanakan bagi menstruktur dan memperkasakan Angkatan Sukarela ATM.
Bengkel itu akan menyemak dasar, polisi serta peraturan melibatkan peruntukan, pentadbiran, pengurusan, latihan dan mobilisasi.
Ahli sidang juga bersepakat meningkatkan inisiatif mempelbagaikan kaedah promosi yang lebih efektif.
Kaedah itu termasuk pengaplikasian media arus perdana seiring pemikiran moden masyarakat umum khususnya golongan belia.
Sidang turut melihat keperluan melibatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai ahli tetap SPJP.
Penglibatan MKN bagi menyokong hasrat Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) melalui pendekatan Keseluruhan Kerajaan dan Keseluruhan Masyarakat (WoGoS).
Lokman Hakim berkata penglibatan MKN sebagai penyelaras dasar keselamatan negara mampu memperkukuh perhubungan strategik antara kerajaan negeri dan ATM.
SPJP Angkatan Sukarela ke-19 menghimpunkan 23 ahli terdiri daripada Pengerusi Jawatankuasa Pendukung negeri atau wakil masing-masing.
Sidang diadakan semula selepas penganjuran terakhir pada 2015 bagi memperbaharui serta memperkukuh mekanisme penyelarasan nasional.








