Dua Ahli Parlimen diarah keluar Dewan Rakyat selepas perang mulut dan kekecohan mengganggu perbahasan belanjawan 2026.
KUALA LUMPUR: Dua Ahli Parlimen telah diarah keluar dari persidangan Dewan Rakyat hari ini selepas mencetuskan kekecohan akibat perang mulut.
Ahli Parlimen Pendang dari Perikatan Nasional Datuk Awang Hashim dan Ahli Parlimen Hulu Langat dari Pakatan Harapan Mohd Sany Hamzan diarah keluar selama 30 minit oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Alice Lau Kiong Yieng.
Kekecohan tercetus apabila Mohd Sany mencelah perbahasan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) dengan mencadangkan Ahli Parlimen pembangkang mengikuti sesi kaunseling kerana tabiat menabur fitnah.
Awang kemudian bangun menempelak Mohd Sany dan menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah serta menyalahi peraturan dewan.
Lau mengarahkan kedua-dua mereka keluar selepas enggan berhenti bertekak. “Saya arahkan Pendang dan Hulu Langat keluar dari Dewan selama 30 minit… jangan ajak bertumbuk dalam Dewan… jangan lagi (saling) menabur fitnah,” katanya.
Kekecohan yang berlarutan hampir empat minit itu menyebabkan Suhaizan terpaksa menghentikan perbahasannya. Lau kemudian memberikan masa tambahan tiga minit kepada Ahli Parlimen Pulai itu untuk menyambung semula perbahasan.







