ALOR SETAR: Kerajaan Kedah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan sasaran kemasukan tiga juta pengunjung ke Langkawi tahun ini dapat dicapai, sekali gus mengekalkan pulau itu sebagai destinasi pelancongan pilihan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri Datuk Mohd Salleh Saidin berkata berdasarkan momentum ketika ini, kerajaan Kedah yakin sasaran itu mampu dicapai apabila statistik menunjukkan 206,443 pelancong direkodkan sehingga 31 Jan lalu.
“Kerajaan negeri melalui Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri Kedah (BPEN) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) sedang melaksana dan merancang pelbagai inisiatif antaranya meningkatkan kemudahsampaian ke Langkawi melalui peningkatan laluan baharu dan mutu perkhidmatan pengangkutan.
“Turut ditawarkan ialah Program Insentif Penerbangan Sewa Khas dan setakat ini sebanyak enam penerbangan khas dijadualkan dari Chengdu dan China ke Langkawi dengan anggaran seramai 1,080 penumpang,“ katanya semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Loh Wei Chai (PH-PKR) berhubung strategi dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri untuk mengembalikan jumlah pelancong ke Langkawi ke tahap sebelum pandemik COVID-19.
Mohd Salleh berkata selain itu, bermula 10 Feb lalu syarikat penerbangan Flydubai telah memulakan laluan penerbangan terus ke Langkawi yang dijadualkan tujuh kali seminggu dengan kedatangan pelancong dari negara Asia Barat, Eropah dan Afrika.
“Langkawi juga menerima pengunjung dari 16 kapal persiaran mewah yang berlabuh di Langkawi Cruise Terminal (CT) dan ini sekali gus menunjukkan bahawa Langkawi tidak pernah hilang magisnya. Bagaimanapun, kerajaan negeri dan agensi di bawahnya tidak akan mudah berpuas hati.
“Pelbagai penganjuran acara pelancongan antarabangsa turut diadakan di Kedah dan bagi tahun ini sebanyak 26 acara telah dan akan diadakan di Pulau Legenda ini antaranya Royal Langkawi International Regatta 2024, Ironman Langkawi, Langkawi International Half Marathon dan lain-lain lagi,” katanya.
Katanya kerajaan negeri sentiasa berusaha keras untuk mengembalikan jumlah pengunjung ke Langkawi ke tahap sebelum pandemik dan usaha itu dilihat berkesan apabila jumlah pengunjung pada 2022 seramai 2.581 juta berbanding 1.093 juta pada 2021.
“Jumlah pengunjung terus meningkat pada 2023 apabila LADA merekodkan 2.81 juta pengunjung ke Langkawi, jadi tidak mustahil sasaran kita tahun ini akan tercapai,” katanya.









