Tuesday, November 11, 2025
22.5 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN angkat reputasi Malaysia di peringkat global

 Anthony Loke berkata kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN 2025 buktikan kemampuan Malaysia sebagai tuan rumah bertaraf dunia.

SEGAMAT: Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyifatkan kejayaan Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN 2025 sebagai pencapaian luar biasa yang membuktikan kemampuan negara menganjurkan sidang kemuncak bertaraf global.

Beliau berkata penganjuran itu menarik perhatian kuasa-kuasa besar dan pemimpin dunia sekali gus mencerminkan penghormatan serta kepercayaan tinggi terhadap keupayaan Malaysia sebagai tuan rumah.

“Ini bagi saya memang satu kejayaan yang besar, bukan sahaja menunjukkan kemampuan negara menjadi tuan rumah tetapi paling penting tumpuan negara-negara luar yang datang kerana mereka memberikan kepercayaan dan keutamaan kepada Malaysia,” katanya.

Loke berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Johor 2025 di sini hari ini.

Edisi kali ini bersifat tidak pernah berlaku dahulu kerana lazimnya sidang kemuncak hanya melibatkan negara ASEAN serta tiga rakan tradisi, iaitu China, Jepun dan Korea Selatan.

“Tetapi kali ini kita mendapat perhatian bukan sahaja dari Amerika Syarikat, tetapi juga negara Amerika Selatan seperti Brazil, negara Amerika Utara seperti Kanada, selain Australia, New Zealand dan Kesatuan Eropah,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata penghormatan itu turut mencerminkan keyakinan terhadap dasar luar Malaysia serta peranan aktif negara dalam memudah cara proses pendamaian di Kemboja dan Thailand sepanjang tempoh kepengerusian.

“Ini satu kejayaan yang melonjakkan nama negara kita dan apabila nama Malaysia harum di seluruh dunia, faedahnya ialah jangka panjang kepada rakyat,” katanya.

Hubungan erat dengan kuasa besar membuka lebih banyak pintu perdagangan, termasuk pasaran baharu seperti Brazil dan Afrika Selatan.

“Apabila eksport dapat diperluas ke seluruh dunia, ini sudah tentu menarik lebih banyak pelaburan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, khususnya di Johor yang kini menjadi tumpuan dunia,” katanya.

Loke berkata kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN turut mengukuhkan keyakinan sektor perkhidmatan awam terhadap kestabilan Kerajaan Perpaduan.

“Kita telah buktikan bahawa dalam tempoh tiga tahun ini kerajaan bukan sahaja mampu bertahan tetapi juga mampu mengawal dan memimpin negara,” katanya. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

Volvo extends complimentary data for owners of Google Built-In Models

Volvo Car Malaysia has announced an industry-first move in the premium car segment, extending its complimentary Volvo Car Connect Plus data service by another year for eligible owners whose current subscriptions are nearing expiry. Previously known as Digital Services, the Volvo Car Connect Plus package is included with the brand’s latest models equipped with Google built-in. It allows seamless access to a suite of connected features without relying on a tethered smartphone — including media streaming, real-time Google Maps navigation, Google Assistant voice commands, and over-the-air system updates.
spot_img

Popular Categories