Kerajaan Melaka hulur sumbangan RM300,000 kepada IPK Melaka untuk disalurkan kepada tiga IPD sebagai bantuan kebajikan kepada keluarga polis.
MELAKA: Kerajaan negeri Melaka menyumbang RM300,000 kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka untuk disalurkan kepada tiga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata setiap IPD akan menerima RM100,000 sebagai bantuan kebajikan kepada anak-anak, bekas anggota dan anggota polis yang masih bertugas.
“Sumbangan dihulurkan kerajaan hari ini mungkin tidak seberapa namun ia membawa satu mesej jelas bahawa pengorbanan wira Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seluruh ahli keluarga mereka sentiasa terpahat dalam ingatan dan tanggungjawab negara,” katanya.
Beliau berucap pada Program Jelajah Wira MADANI: Bantuan Khas Persekolahan untuk Anak-anak Warga IPK Melaka di IPK Melaka.
Program itu turut dihadiri Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar.
Sebanyak 357 anak anggota polis menerima bantuan persekolahan berupa wang tunai antara RM100 dan RM150 serta baucar.
Tiga pesara polis pula menerima sumbangan wang tunai RM500.
Mohd Khalid berkata penyaluran peruntukan khas itu mencerminkan kesungguhan kerajaan memperkasakan nilai-nilai MADANI.
“Saya percaya, bantuan yang diberikan sedikit sebanyak mampu meringankan beban warga pasukan, tambahan pula sesi persekolahan 2026 akan bermula tidak lama lagi,” katanya.







