Steven Sim gesa penyelarasan prosedur kerajaan semua peringkat untuk elak kekeliruan peniaga, sokong garis panduan halal Zulkifli Hasan.
PUTRAJAYA: Proses dan prosedur kerajaan pada semua peringkat perlu dipermudah dan diselaraskan supaya peniaga di negara ini dapat beroperasi tanpa kekeliruan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim berkata ini bagi mengelak tafsiran peraturan yang pelbagai.
Merujuk isu hiasan perayaan agama selain Islam, Sim berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan telah memberikan penjelasan mengenainya.
Beliau berkata penjelasan itu wajar dihormati serta dijadikan panduan bersama supaya pelaksanaan di lapangan adalah konsisten.
“Kini tiba masanya kita memastikan perniagaan Malaysia terus maju tanpa mengira kaum, agama, negeri, wilayah termasuk sektor makanan dan hotel yang melibatkan banyak PMKS Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Sim menambah ini sebahagian strategi ABCD kementeriannya yang merangkumi anjakan produktiviti, birokrasi dipermudah, capaian modal dan daya akses pasaran.
Terdahulu, Zulkifli menyatakan tiada larangan terhadap pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) untuk menggunakan imej berkaitan perayaan agama selain Islam.
Namun, ia perlu tertakluk kepada syarat ditetapkan termasuk tidak menjejaskan prinsip “halalan thoyyiban”.
Dekorasi yang berhubungan dengan perayaan selain Islam pada produk makanan yang bersifat tidak kekal turut dibenarkan.
Bagaimanapun, beliau berkata penggunaan peralatan sembahan adalah tidak dibenarkan.
Dekorasi serta hiasan premis juga tidak boleh melibatkan paparan SPHM serta imej Logo Halal SPHM.








