the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, April 13, 2026
26 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Kewarganegaraan: Ahli Parlimen sokong syarat pengetahuan bahasa Melayu

KUALA LUMPUR: Pengetahuan bahasa Melayu yang mencukupi sebagai syarat tambahan dalam permohonan kewarganegaraan menerusi Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 mendapat sokongan kebanyakan ahli Parlimen.

Rang undang-undang itu antara lain bertujuan meminda Fasal (1) Perkara 15 Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan melalui pendaftaran (isteri dan anak warganegara) dengan memasukkan perenggan ‘bahawa dia mempunyai pengetahuan yang mencukupi dalam bahasa Melayu’.

Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) bersetuju bahawa setiap rakyat perlu memahami dan menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Bagaimanapun, beliau berharap peraturan itu mempunyai piawaian khusus dan bukan berdasarkan budi bicara pegawai terlibat.

Senada dengan Sim, Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mencadangkan supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) merangka takrifan jelas berhubung kriteria penguasaan bahasa Melayu bagi syarat kelayakan kewarganegaraan itu dan memastikan agensi terlibat mempunyai garis panduan mengenai perkara berkenaan.

Mengambil contoh Kanada, Norway, Jerman dan Sweden, Mohammed Taufiq berkata negara berkenaan mempunyai proses penilaian bahasa serta piawaian yang jelas dan seragam.

“Sebab kalau lihat penilaian bahasa Melayu itu sendiri mungkin berbeza antara satu pegawai dengan pegawai lain dan kita juga perlu penyelarasan daripada Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya.

Zakri Hassan (PN-Kangar) berkata antara jati diri bagi sesebuah negara adalah elemen bahasa dan individu yang mempunyai keinginan kuat untuk menjadi warganegara perlu berusaha menguasai bahasa Melayu dengan baik serta mempunyai pengetahuan mengenai Malaysia.

“Mana-mana individu yang ingin menjadi warganegara Malaysia, tetapi tidak boleh berbahasa Melayu, jika ini berlaku maka hilanglah identiti warga Malaysia. Sedangkan warga negara lain (seperti) Bangladesh, Nepal yang bekerja di negara ini boleh berbahasa Melayu dengan lancar. Jadi malu kalau warga Malaysia tidak boleh berbahasa Melayu,” katanya.

Selain pengetahuan bahasa Melayu, RSN Rayer (PH-Jelutong) mencadangkan individu yang ingin memohon kewarganegaraan perlu mempunyai pemahaman dan penghayatan kepada Rukun Negara.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img