the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, June 22, 2026
21.7 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Malaysia bantu sedia latihan, pendidikan belia negara-negara membangun dan selepas perang – Zambry

PUTRAJAYA: Malaysia akan membangunkan Pusat Kecemerlangan Pendidikan dan Latihan, khusus bagi belia daripada negara-negara membangun dan negara selepas perang seperti Iraq, Afghanistan, Libya dan Timor Leste, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata perkara itu dipersetujui dalam pertemuan dua hala beliau dengan Presiden Institut Kajian Ekonomi ASEAN dan Asia Timur (ERIA) Profesor Tetsuya Watanabe, Ketua Pakar Perdagangan di Bank Dunia Dr Roberto Echandi, dan Pengurus Praktis dan Perdagangan Global di Bank Dunia, dalam lawatan empat hari beliau ke Switzerland pada 6 hingga 9 Sept lepas.

“Ini merupakan satu pengiktirafan besar kepada negara kerana mendapat mandat untuk membangunkan pusat berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pada masa yang sama ia juga adalah sebagai satu daripada usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memberikan akses pendidikan yang terbaik kepada penduduk negara-negara berkenaan untuk mendapat pendidikan tinggi, seterusnya berbakti membangunkan negara masing-masing.

Zambry berkata hasrat itu disambut baik selaras dengan fokus KPT iaitu mengantarabangsakan pendidikan tinggi.

“Pada peringkat awal, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menjadi penyelaras bagi program-program berkaitan, dalam menjayakan inisiatif ini,” katanya.

Dalam lawatan beliau selama empat hari ke Switzerland atas jemputan Institut Perdagangan Dunia (WTI) itu, beliau menyertai beberapa perjumpaan dua hala, mengadakan perbincangan, di samping menyampaikan ucaptama.

Zambry berkata lawatan ke Switzerland membuahkan hasil dan memperkukuh lagi hubungan dua hala serta kerjasama strategik dalam menjayakan agenda pembangunan bakat terbaik dan pengantarabangsaan pendidikan tinggi.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings