PM Anwar Ibrahim manfaatkan setiap pertemuan dengan Presiden AS Donald Trump untuk desak penyelesaian menyeluruh isu Gaza dan Palestin
KUALA LUMPUR: Malaysia memanfaatkan setiap peluang pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk secara konsisten mendesak langkah penyelesaian menyeluruh terhadap isu Gaza sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 baru-baru ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setiap pertemuannya dengan pemimpin dunia itu, sama ada secara rasmi mahupun peribadi, dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyuarakan isu Gaza.
Beliau menjelaskan bahawa istilah comprehensive settlement atau comprehensive solution digunakan bagi menekankan bahawa penyelesaian sebenar terhadap konflik di Gaza perlu bersifat menyeluruh, bukan sekadar gencatan senjata tanpa mengiktiraf hak kedaulatan rakyat Gaza dan Palestin.
“Secara rasmi, saya membangkitkan isu ini sebanyak tiga kali dan mendapat liputan media,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Anwar menambah bahawa dalam The Beast, kenderaan rasmi Presiden Amerika Syarikat, ia merupakan perbualan empat mata yang bersifat peribadi.
“Dalam tiga kesempatan rasmi itu, saya menegaskan tentang perlunya ‘penyelesaian menyeluruh terhadap masalah Gaza dan Palestin’.”
“Saya ingin tekankan di sini, yang paling penting bagi saya dan sangat melegakan ialah peluang menyampaikan secara hati ke hati tentang permasalahan Gaza dan Palestin kepada Presiden Donald Trump,” ujarnya.
Anwar Ibrahim berkata ramai pemimpin dunia lain memilih untuk tidak berdepan dengan Trump bagi menyuarakan pendirian sebenar dan tegas berhubung isu Gaza.
Beliau menyatakan usaha pendamaian di Gaza menerusi pelan 20-point plan for Gaza merupakan langkah awal yang penting namun masih rapuh.
Anwar menekankan bahawa Amerika Syarikat menjadi faktor penentu kepada penghentian serangan atau pelaksanaan gencatan senjata di Gaza.
“Kita sudah kecam, marah dan nyatakan ketidaksetujuan terhadap kezaliman di Gaza kepada AS… jadi apabila ada peluang, kita sampaikanlah pandangan dan cadangan kita untuk penyelesaian yang komprehensif,” katanya.
Beliau berkata Trump menyatakan komitmen untuk memastikan perjanjian damai berfungsi dalam pertemuan mereka.
“Presiden Trump hanya menyebut kepada saya dan kemudian menegaskan semula dalam pertemuannya bahawa beliau akan memastikan ‘the peace deal works’. Bagi saya, itu satu permulaan yang baik,” katanya.
Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dengan menyuarakan desakan antarabangsa serta meneruskan usaha bantuan kemanusiaan.
Anwar menyatakan kesediaan Malaysia untuk menyertai pasukan ketenteraan damai sekiranya diperlukan dalam misi keamanan di Gaza.
Beliau berkata Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi menyatakan hasrat untuk meningkatkan laluan di Rafah Crossing bagi bantuan kemanusiaan.
Perkara ini turut disambut baik oleh banyak negara lain termasuk Qatar, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Turkiye.
Terdapat cadangan untuk mengadakan pertemuan antara negara-negara Arab dan negara Islam di Kaherah dalam masa terdekat.
Anwar menyatakan beliau akan hadir ke pertemuan tersebut sekiranya diundang bagi membincangkan penyelesaian isu Gaza. – Bernama










