Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir, menegaskan MIC masih komponen BN, dakwaan keluar hanya spekulasi, mesyuarat terima semula PPP
KOTA KINABALU: MIC masih merupakan sebahagian daripada parti komponen Barisan Nasional (BN), kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata pihaknya belum menerima sebarang makluman rasmi kononnya MIC akan meninggalkan BN.
Hubungan antara kepimpinan tertinggi parti komponen kekal utuh dan baik.
“Saya yakin MIC masih tetap bersama BN sehingga kini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di sini.
Beliau menambah isu itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat.
“Setakat ini kita tidak menerima apa-apa, sebarang laporan yang mengatakan mereka keluar ataupun tidak, kita tidak mengambil itu sebagai sumber sahih,” katanya.
Mesyuarat itu dipengerusikan Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir ialah Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dan Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon.
Mengulas ketidakhadiran wakil MIC, Zambry berkata ia disebabkan faktor kekangan masa.
“BN sentiasa bersangka baik, kita bekerjasama dan mungkin ada spekulasi-spekulasi yang dibuat, itu kita anggap hanya sebagai satu spekulasi,” katanya.
Mesyuarat Dewan Tertinggi BN turut membuat keputusan menerima semula penyertaan Parti Progresif Penduduk (PPP) ke dalam gabungan tersebut.
Mesyaurat itu juga memutuskan pelantikan Arthur sebagai Pengerusi BN Sabah yang baharu.
Datuk Seri Jafry Ariffin dilantik sebagai Timbalan Pengerusi BN Sabah manakala Datuk Mohd Hasnol Ayub dilantik sebagai Setiausaha BN negeri.








